Sunday, February 22, 2009

:: Saru dan Bersaru ::

kadang bila memegang kalam, ia akan berolek baik di atas layar atau di atas muka papan, tapi bila jemari menari-nari diatas papan kekunci… diaduk dengan kecamuk jiwa yang rusak dan pedih… lihatlah ke luar… dunia lebih luas dari apa yg kamu ada didalam dada yang sempit kerna asap…
“Kukirai selendang malam, biar dibuka bidai,
Kuseru malam membuka bidai…..”
http://www.mindabersaru.blogspot.com

Saturday, February 21, 2009

:: Cerita Seorang Zaidi ::

Zaidi tidak pernah minta lahir jadi begini. Dibesarkan di celahan rumah setinggan di sebuah kota agam, Kuala Lumpur. Kota yang menjanjikan kemewahan tetapi bukan kota untuk orang-orang semacam Zaidi. Zaidi hanya sempat menamatkan persekolahan setakat tingkatan 3. Bapanya pergi menyahut seruan Ilahi tatkala Zaidi dan 6 orang adik-adiknya masih dibangku sekolah malah ada yang masih didalam buaian.
Zaidi akur dengan keputusan hanya di tingkatan 3 dia terpaksa menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan arwah bapanya untuk menjaga dan membesarkan adik-adiknya. Dengan bekerja, dapatlah Zaidi meringakan beban ibunya. Ibunya mencari sedikit wang dapur dengan berniaga warung pisang goreng.
Tahun melangkau tahun, kerja-kerja biasa bertukar-tukar, namun tiada kerja yang betul-betul menjanjikan kesenangan dan boleh memberi pulangan yang cukup untuk menampung perbelanjaan skolah adik-adiknya. Puas Zaidi bekerja siang dan malam, 6 orang tanggungan dibawahnya masih belum dapat dibahagi sama rata.
Sampai satu ketika, Zaidi nekad, dikumpulnya rakan sepergaulan dari setinggan tempat beliau membesar. Nekad! Zaidi nekad ingin melakukan rompakan, bermula dari rompakan kecil di kedai-kedai larut malam, Zaidi melompat pergi ke yang lebih besar, kedai-kedai kuda, kafe-kafe siber dan yang paling lumayan kedai-kedai telefon bimbit.
Sempurna adik-adiknya ke sekolah, bila di tanya abang kerja apa? Zaidi sekadar menjawab dia bekerja ofis. Pagi keluar berkemeja lengan panjang, berseluar khaki, siap sengan sepatu kulit lengkap berkaus kaki.
Nyata kerja seperti itu hanya menjanjikan kemewahan sementara. Disuatu petang yang bening dan mandom, Zaidi merancang projek mega yang terakhir. Berlima merompak sebuah kedai telefon bimbit, tapi malang menimpa, kegiatan mereka sudah dihidu, langkah kakinya terjerelus lubang, Zaidi dan seorang lagi rakan tertangkap, yang bertiga lagi berjaya lolos diri. Zaidi dan rakan dibelasah, beluti, batang paip, penyepak, terajang hinggap disegenap pelusuk tubuh kurus Zaid. Nyata amarah berbaur tindakan luar kawal membawa padah, kecederaan parah di kepala kedua-dua sahabat itu mengakhiri gemilangnya Zaidi. Mayat Zaidi akhirnya terbungkang ditutup plastik hitam diatas rover polis. Tiada siapa yang mengaku bersalah.
"Kau ingat tak Zaidi yang selalu datang tolak topup murah kat kedai kita dulu, masa kita berniaga kat Pertama?"
"Ingat, kenapa?"
"Semalam aku jumpa budak dia, yang kadang-kadang datang masuk lagu dalam henpon tu, dia cakap Zaidi dengan Botak dah meninggal"
Cerita ini cerita Zaidi, yang meninggalkan 6 orang adik-adiknya yang masih lagi bersekolah. Cita-cita Zaidi tinggi, tapi Zaidi tidak punya pilihan, aku tidak pernah rasa Zaidi bersalah. Aku rasa, Zaidi seorang yang mulia, Zaidi tersepit di dalam sistem yang memaksa dia untuk mencari jalan senang yang berpenyudah singkat. Zaidi mahu adik-adiknya sekolah dan menjadi orang-orang yang berjaya bukan seperti dirinya.
"Adib pilihlah, Adib nak henfon mana, tapi jangan yang mahal-mahal, abang takda duit, gaji belum masuk"
Tak pernah terlintas dalam otak fikiran aku utnuk timpakan semua silap salah Zaidi ini atas bahu dia. Aku yakin bukan dia yang minta perjalanan hidup dia macam itu.
Sistem yang ada sekarang yang aku rasa perlu dibetulkan. Ada berpuluh, mungkin beratus atau beribu Zaidi lagi diluarsana. Jangan tunggu untuk Zaidi-Zaidi ini datang minta dibantu, cari dan selongkar, jengok dan lihat kalau-kalau ada Zaidi-Zaidi lain yang terlepas pandang.
Jangan tanya aku apa yang terjadi kepada nasib adik-adik Zaidi, aku sendiri tidak daya membantu, hanya aku mampu pesan dan tulis disini.
Harap-harap Zaidi ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dia tidak pernah minta untuk lahir di kota yang mewah tapi bukan milik semua.

-Mindaku Bersaru
___________________________________________________________________
www.arnabkiut.blogspot.com